Get me outta here!

Khamis, 6 Januari 2022

Pengaruh Falsafah Pendidikan Barat (FPB) terhadap pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaaan

 

PENGENALAN

      Falsafah Pendidikan barat terbahagi kepada dua bahagian iaitu falsafah Pendidikan barat tradisional  dan falsafah pendidikan barat moden .Falsafah pendidikan barat tradisional terdiri daripada falsafah pendidikan  perenialisme dan falsafah pendidikan essensialisme. Seterusnya, falsafah Pendidikan barat moden terdiri daripada falsafah Pendidikan progresivisme dan rekonstruksionisme. Falsafah Pendidikan ini mempunyai mazhab-mazhab falsafah tertentu. Contohnya, falsafah pendidikan perenialisme dan essensialisme dipengaruhi oleh mazhab falsafah idealisme dan realisme. Manakala falsafah Pendidikan progresivisme dipengaruhi oleh mazhab falsafah realisme dan pragmatisme. Akhir sekali, falsafah pendidikan rekonstruksionisme dipengaruhi mazhab falsafah eksistensialisme dan pragmatisme.














Pengaruh Falsafah Pendidikan Barat dalam pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

        Elemen-elemen di dalam Falsafah Pendidikan Barat diakui mempengaruhi dalam pembentukan FPK di negara ini. Namun pemilihan dan pengolahan terhadap elemen tersebut telah diolah bagi disesuaikan dalam konteks negara Malaysia selaras dengan matlamat KPM bagi mengembangkan potensi murid ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti berdasarkan prinsip-prinsip yang telah dinyatakan di dalam FPK  :

      “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

        Jika diteliti secara terperinci, falsafah pendidikan di Malaysia dipengaruhi sebahagian besarnya daripada Falsafah Pendidikan Barat sama ada moden atau tradisional. Kesemua falsafah barat ini memberi pengaruh sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pembentukan FPK bagi memenuhi matlamat KPM.

Pengaruh Falsafah Perenialisme

    Secara umumnya, kurikulum mazhab perenialisme dikatakan konservatif dimana prinsip pendidikannya bersifat tetap dan berulang. Matlamat pendidikan mazhab ini adalah untuk mengajar pengetahuan dan nilai sejagat, abadi atau dan tidak mempunyai had masa di mana ia adalah suatu usaha mencari kebenaran dan menyebarkannya kepada generasi yang akan datang. Hal ini bertepatan dengan FPK di mana pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan. Elemen ini penting kerana pendidikan berterusan akan menanam sifat cintakan ilmu hingga akhir hayat seterusnya mampu melahirkan modal insan yang berkualiti.

    Aliran parenialisme juga mengutamakan kerasionalan dalam mengadakan matlamat sistem pendidikan untuk memperbaiki status manusia. Menurut Abdul Rahman dan Zakaria Kasa (1986) disamping mengejar pembangunan kemajuan sains dan teknologi, industri seharusnya mengekalkan nilai kemanusiaan yang murni. Maka, FPK untuk melahirkan rakyat yang berakhlak, bermoral, beretika dan berestetika amat bertepatan dengan sebahagian pemikiran parennialisme.

 

Pengaruh Falsafah Esensialisme

        Falsafah ini menumpukan kepada perkara-perkara asas yang perlu diketahui seseorang individu agar menjadi ahli masyarakat yang produktif, bersifat praktikal dan pragmatik. Falsafah aliran ini juga mementingkan pembentukan peribadi dan kurikulumya disusun dari topik yang mudah kepada yang lebih kompleks serta menekankan kemahiran 3M iaitu menulis, mengira dan membaca. Peranan guru di dalam aliran ini adalah sebagai pakar dalam pelbagai disiplin dan sebagai ‘role model’ yang harus dicontohi.

        Unsur intelek yang tercatit di dalam FPK yang menerangkan tentang tumpuan dalam daya berfikir yang meliputi ciri-ciri seperti kemahiran asas 3M, berfikir secara kreatif dan kritis ini membuktikan bahawa terdapat pengaruh aliran esensialisme di dalam pembentukan FPK di negara ini. Menurut Tajul dan Noraini (1992), sumbangan kurikulum essensialisme yang dapat dilihat dalam perkembangan sistem pendidikan di Malaysia ialah guru sebagai model, penerapan nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran, mata pelajaran di bahagikan kepada teras dan elektif dimana menggambarkan mata pelajaran penting dan kurang penting seperti pelaksanaan KBSM dan penekanan 3M dalam pelaksanaan KBSR (Abdul Rahman dan Zakaria Kasa, 1986).

Pengaruh Falsafah Progresivisme

        Matlamat falsafah ini adalah untuk menyediakan golongan murid agar berupaya mengakomodasi dan menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Kita dapat melihat perkaitannya dengan falsafah pendidikan kebangsaan iaitu untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan bertanggungjawab serta berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang maju dan berilmu. 

    Progresivisme mementingkan operasi penyelidikan yang menjadi pemangkin pembangunan teknologi. Hasil daripada fahaman aliran progressivisme ini akan melahirkan masyarakat saintifik, progresif dan inovatif kerana kajian penyelidikan saintifik dipupuk secara meluas dan menyeluruh. Falsafah pendidikan juga meggalakkan pelajar agar mempunyai sikap yang kreatif dan inovatif agar dapat menyumbang dalam perkembangan teknologi negara. Ini juga bertepatan dengan kehendak negara bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang akan dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan negara yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif pada masa akan datang.

        Falsafah pendidikan juga mengharapkan potensi pelajar berkembang dengan menyeluruh tetapi dalam fahaman progresivisme ini, agama diketepikan. Justeru itu, falsafah pendidikan kebangsaan menyatupadukan antara perkembangan potensi pelajar yang seimbang serta unsur spiritual dan rohani. Hal ini demikian kerana, kemajuan tanpa agama akan menyebabkan manusia hilang pedoman. Nilai dalam diri juga akan terhakis dan manjadikan manusia bersifat ego dan individualistik. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang menggunakan kaedah inkuiri-penemuan dan lebih berpusatkan murid juga adalah hasil fahaman ini. Kesimpulannya, falsafah progresivisme sedikit sebanyak telah mendatangkan implikasi yang agak besar juga kepada pendidikan di Malaysia. Implikasi yang dikatakan tersebut adalah berasaskan kepada kebaikan demi untuk melahirkan individu yang memenuhi matlamat KPM.

Pengaruh Falsafah Rekonstruksionisme

          Konsep aliran ini lebih menyeluruh di mana ia meliputi isu sosial, ekonomi, politik dan teknologi. Sekolah dijadikan sebagai landasan membentuk masyarakat baru dan ingin mengasaskan corak budaya baru serta menghapuskan penyakit sosial. Oleh yang demikian, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan lebih berstruktur, mempunyai elemen kajian saintifik dan juga kerja projek. 

        Elemen ini telah diserap dalam falsafah pendidikan di Malaysia di mana salah satu fungsi FPK adalah mengembangkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu demi membentuk insan yang harmonis dan seimbang. Setiap individu memiliki keupayaan dan bakat yang tersendiri. Keupayaan dan bakat itu pula dapat diperkembangkan menerusi aktiviti sosial. Oleh itu, individu akan sentiasa mencari kelebihan mereka dalam bidang yang mereka pilih. 

       Fungsi FPK dalam melahirkan individu yang berketerampilan juga mempunyai unsur mazhab rekonstruktivisme yang mana menjurus kepada kemahiran dalam menjalankan tugas dengan cekap sekaligus mengembangkan potensi mereka secara optima. 

Kesimpulan

        Jelas di sini menunjukkan bahawa falsafah pendidikan Barat sedikit sebanyak telah  menjadi penanda aras dalam pembentukan falsafah pendidikan kebangsaan. Namun begitu, tidak semua dalam falsafah pendidikan Barat itu diambil bulat-bulat dan dijadikan terus kepada falsafah pendidikan kebangsaan kita.

 











0 ulasan:

Catat Ulasan