Get me outta here!

Khamis, 6 Januari 2022

Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam (FPI) terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia

PENGENALAN FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

        Islam merupakan addin yang bersifat menyeluruh, bersepadu, seimbang dan sempurna. Islam tidak terbentuk dari pemikiran manusia tetapi fitrah untuk beragama. Meskipun di dalam Al-Quran tiada dinyatakan istilah falsafah tetapi ada disebut tentanng hikmah. Dari aspek cabang falsafah Islam, penekanan kepada kepercayaan mengawal pemikiran dan tindakan.

FALSAFAH DALAM ISLAM

1. Metafizik - Intisari yang Maha Esa, Mutlak dan Kekal

2. Epistemologi - Pengetahuan tentang kebenaran mutlak (haq) melalui dua cabang ilmu:

    i. Ilmu Naqli (Fardu Ain-Wahyu)

    ii. Ilmu Aqli (Fardu Kifayah-Akal)

3. Aksiologi - Kebagusan mutlak (kamil), ditetapkan oleh Allah s.w.t. dengan ekspresi lahiriah dalam bentuk kebagusan relatif (ketakwaan).

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM DAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

PENGARUH FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM 

Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam merujuk kepada :

 

1. Pendidikan Sepanjang Hayat

Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam yang pertama ialah pendidikan sepanjang hayat. Pendidikan ini merupakan satu proses yang berterusan iaitu bermula dari bayi sehinggalah kita meninggal dunia. Proses pemerolehan, pemindahan pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan merupakan satu perkara yang tidak dapat dipisahkan lagi. Pendidikan sudah bermula sejak kita berada dirumah lagi. Pendidikan awal di rumah ini adalah penting kerana ianya dapat membentuk asas sahsiah yang akan terus berkembang hingga ke akhir hayat nanti. Konsep pendidikan ini mempunyai 3 peringkat, iaitu peringkat awal, peringkat sekolah dan peringkat selepas sekolah. Proses melanjutkan pelajaran bermula dari zaman kanak-kanak hinggalah dewasa. Justeru itu, pendidikan terbahagi kepada dua iaitu pendidikan formal dan tidak formal.

i) Pendidikan Formal

    Sistem pendidikan formal ialah satu pendidikan yang mempunyai sukatan pelajaran, kelas atau sekolah, serta mempunyai ujian dan peperiksaan serta lain-lain lagi. Kebiasaannya pendidikan ini bermula seawal usia lima hingga tujuh belas tahun. Hal ini boleh kita lihat dari Tadika sehingga Tingkatan Lima nanti. Pembelajaran yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebenarnya bukan berhenti di sekolah malahan ianya berterusan sehinggalah keperingkat yang lebih tinggi dan seterusnya sepanjang hayat. Misalnya pendidikan bukan setakat mempuyai diploma atau ijazah sahaja, malah mereka digalakan untuk belajar ke peringkat yang paling tinggi.

ii) Pendidikan Tidak Formal

    Pendidikan tidak formal ini ialah pendidikan yang bermula di rumah. Ini bermaksud seseorang kanak-kanak dari bayi telah mempelajari pelbagai pelajaran melalui pengalaman dan pemerhatian mereka melalui persekitaran dalam dan luar rumah. Melalui pendidikan ini, kanak-kanak dapat mempelajari kemahiran insaniah (soft skills) iaitu kemahiran komunikasi daripada orang sekeliling seperti ibu bapa, nenek dan adik-beradik mereka melalui pergaulan dan interaksi sesama mereka. Sebagai contoh, jika ibu bapa sering mengajar anak-anak tentang adab memberi ucapan terima kasih, maka kanak-kanak tersebut akan terbiasa dengan ucapan iaitu “Terima Kasih’ itu sering meniti di bibir mereka. Oleh itu, pendidikan ini dapat dikembangkan melalui akal, roh dan dan jasad  bagi mencapai matlamat pendidikan untuk menjadi insan yang syumul (sempurna) melalui iman, ilmu dan amal.

2. Menyeluruh dan Bersepadu

    Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam yang kedua ialah memperkembangkan potensi secara menyeluruh dan bersepadu. Hal ini bermaksud potensi-potensi yang ada pada individu harus dikembangkan secara bersepadu dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Sebagai contoh, potensi dari sudut intelek tidak boleh dipisahkan dengan potensi kerohanian. Pelajar yang bijak adalah tidak seimbang tanpa ada norma-norma kemanusiaan seperti kasih sayang sesama manusia dan menghormati orang lain. Usaha hendaklah dijalankan untuk menghubungkaitkan perkembangan semua potensi bukan sahaja potensi intelek, malah potensi rohani, emosi dan jasmani juga penting. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah selain memberikan pendidikan keduniaan seperti ilmu akademik dan jasmani untuk mengembangkan semua potensi secara bersepadu adalah dengan menerapkan kepercayaan kepada Tuhan. Ini akan melahirkan pelajar yang bersahsiah tinggi selain berilmu. Oleh itu, semua potensi hendaklah dikembangkan melalui berbagai-bagai aktiviti kehidupan manusia yang berlandaskan nilai-nilai murni dan juga norma-norma masyarakat yang baik seperti aktiviti ceramah agama dan gotong-royong selain proses pembelajaran dan pengajaran dalam kelas.

3. Seimbang dan Harmonis

    Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam yang ketiga ialah seimbang dan harmonis. Maksud seimbang dan harmonis disini ialah insan yang berilmu pengetahuan, mempunyai akhlak mulia, percaya dan yakin kepada Tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram, sihat tubuh badan, serta matang dari segi emosi dan sosialnya. Insan yang seimbang dan harmoni ini mempunyai intelek, rohani, emosi dan jasmani yang telah diperkembangkan secara kritikal dan bersepadu. Hal ini dapat dilihat dalam kehidupan harian atau tingkah laku seseorang individu tersebut. Sebagai contoh, pelajar yang seimbang dan harmonis memiliki kefahaman tentang tugas dan tanggungjawab terhadap lantikan misalnya menjadi sebagai seorang ketua pelajar. Dengan ini, ketua pelajar tersebut mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik. Ketua pelajar itu juga dapat bekerjasama dengan rakan-rakan lain melalui perbincangan yang dilakukan bagi memantapkan lagi keperluan para pelajar untuk akademik. Jika ada masalah, segala masalah dan cabaran yang dihadapi dapat di atasi secara professional dan rasional.

4. Kepercayaan dan Kepatuhan kepada Tuhan

    Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam yang terakhir ialah kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Ini bermaksud perkara yang memberi penekanan kepada beberapa perkara penting seperti mengakui wujudnya Pencipta, mengakui manusia dan alam dijadikan oleh Pencipta, mengetahui tentang percaturan yang telah dilakukan oleh Tuhan, faham bahawa manusia dijadikan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan, menjauhi kemungkaran dan melakukan kebaikan, mengikuti dan mengamalkan ajaran agama, dan sentiasa mengukuhkan kepercayaan beragama. Dalam aspek kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan ini, setiap pelajar telah mengakui tentang wujudnya Pencipta. Oleh itu, setiap pelajar telah mengamalkan kepercayaan keagamaan masing-masing seperti Agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Dalam orientasi ilmu, terdapat ilmu naqli iaitu Wahyu dan ilmu aqli iaitu Falsafah dan Sains. Dengan ilmu yang diamalkan, ianya dapat menjadikan seorang insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Kewajipan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pelajar-pelajar dapat mengamalkan konsep kepercayaan kepada Tuhan kerana mereka telah diajar perkara tersebut di dalam kelas.

PENGARUH FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM TERHADAP SISTEM PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Falsafah Pendidikan Islam adalah berasaskan ajaran Al-Quran. Falsafah Pendidikan Islam amat menekankan pendidikan mengenali Allah Yang Esa kerana semua perkara asasnya bermula daripada Pencipta itu sendiri. Menurut Agama Islam, pendidikan merupakan usaha-usaha membaiki diri masing-masing agar dapat membentuk sifat yang sempurna dalam diri setiap individu sebagai seseorang yang taat kepada perintah agama, berpengetahuan dan memiliki akhlak yang mulia. Falsafah Pendidikan Islam telah memberi pengaruh terhadap kurikulum dan pendidik terhadap sistem perkembangan pendidikan di Malaysia.

    Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam terhadap sistem perkembangan di Malaysia yang pertama ialah melalui kurikulum. Perubahan sukatan pelajaran yang dilaksanakan berdasarkan kerangka utama pembelajaran mampu memperlihatkan pembelajaran dan pengajaran yang dilaksanakan lebih beroriontasikan kepada program bersepadu di sekolah. Sebagai contoh, Perkhidmatan Kesihatan Sekolah (Bimbingan dan Kaunseling). Justeru itu, peranan guru sangat penting untuk untuk memastikan segala ilmu yang diajar dapat dihayati oleh pelajar di samping bahan-bahan pengajaran yang menekankan nilai-nilai moral dan akhlak dalam melibatkan semua mata pelajaran.

    Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam terhadap sistem perkembangan di Malaysia yang kedua ialah melalui pendidik. Menurut Mok Soon Sang (2010), berlaku perubahan sikap seseorang pendidik dan profesionalnya dalam memastikan tugasan mengajar dengan tujuan dan dasar falsafah pendidikan islam adalah selari. Hal ini kerana para pendidik akan berubah kearah pandangan dan visi yang positif terhadap amanah yang dipikul untuk memastikan ianya dapat dilaksanakan dengan baik.Perubahan ini menubah strategi dan teknik pengajaran oleh pendidik supaya lebih sesuai dilaksanakan untuk melahirkan modal insan yang berguna kepada negara. Di samping itu, pendidik juga menjadi lebih bertanggungjawab kerana mereka merupakan role model di sekolah kepada anak didik mereka.

    Kesimpulannya, Falsafah Pendidikan Islam memberi implikasi yang sangat besar kepada perkembangan sistem pendidikan di Malaysia. Hal ini kerana falsafah pendidikan Islam mampu memberi perubahan terhadap sekolah dalam pelbagai sudut iaitu dari sudut kurikulum dan pendidik. Di samping itu, ia mampu membina tingkah laku manusia untuk menjadi manusia yang seimbang melalui lima aspek iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial di bawah teras ajaran agama Islam.

KERATAN AKHBAR

    Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) adalah satu proses pendemokrasian pendidikan, merangkumi program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal atau tidak formal. PSH mempunyai konsep untuk memenuhi keperluan individu dan guna tenaga di samping mewujudkan warganegara yang aktif dan kesaksamaan sosial. Antara kumpulan sasaran utama PSH ialah lepasan sekolah, golongan dewasa yang bekerja, suri rumah dan warga emas yang mahu memberi sumbangan kepada negara, menambah baik diri, dan mempelbagaikan kemahiran. Lantas Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dengan jelas meletakkan lonjakan yang ketiga iatu Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) antara agenda utama pendidikan tinggi negara. 

0 ulasan:

Catat Ulasan