Get me outta here!

Khamis, 6 Januari 2022

Sinopsis

 


Unit ini secara keseluruhannya akan membincangkan tentang penggubalan dan pembentukkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPK ini merupakan penggabungan asas dari Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan Barat. Falsafah Pendidikan Barat adalah dari aliran perenialisme, progresivisme, esensialisme dan rekontruksionisme. Gabungan Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan Barat ini menyebabkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini tergolong dalam falsafah eklektik.

Pengaruh cabang falsafah metafizik, epistemologi, aksiologi dan logik terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia

 


Pengaruh cabang falsafah terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia

Terdapat 4 cabang pengaruh falsafah yang kita belajar dalam bab ini iaitu:

1.       Metafizik

2.      Epistemologi

3.      Aksiologi

4.      Logik

Metafizik

Ia berkaitan dengan persoalan realiti yang memerlukan ketajaman manusia dalam merealisasikan sesuatu yang berada di sebalik fizik. Dalam konsep pendidikan, ia merupakan suatu aplikasi dalam pendidikan dan cabang metafizik ini juga boleh digantikan dengan ilmu sains. Dalam lmu sains, metafizik ini menggunakan bahasa untuk menerangkan gambaran tentang struktur bahan yang ingin dikaji seperti mengaplikasikan eksperimen kejadian hujan, demontrasi gunung berapi serta konsep ruang dan masa. Manakala, dalam bidang ilmu agama pula, ia lebih menyerupai kepada keagamaan seperti manusia boleh mengetahui kewujudan tuhan tetapi tidak dapat melihatnya melalui mata kasar. Metafizik terbahagi kepada tiga iaitu ontologi yang berkaitan ilmu pengetahuan atau ajaran tentang keberadaan. Yang kedua pula adalah kosmologi. Kosmologi pula mempelajari pengetahuan ahli falsafah tentang peraturan alam dan akhir sekali adalah theologi yang merupakan membicarakan tentang manusia.

Antara persoalan falsafah yang berkaitan dengan falsafah ini adalah:

Ontologi

  • Apakah sebenarnya merupakan pengetahuan?
  • Bagaimanakah pandangan kita terhadap pengetahuan?

Kosmologi

  • Bagaimanakah guru menyusunaturkan bilik darjahnya?
  • Patutkah kurikulum ini distrukturkan atau ditentukan oleh pelajar itu sendiri?

Theologi

  • Patutkah semua manusia mendapat kemudahan pendidikan yang sama?
  • Adakah kebolehan seseorang pelajar untuk belajar lahir secara semulajadi atau dipelajari?

Epistemologi 

Cabang falsafah epistemologi ini menerangkan tentang teori ilmu dan berteraskan kebenaran dari aspek perolehan, jenis, sumber dan kesahannya. Ia juga menghuraikan tentang manusia sebagai makhluk berakal dalam menggunakan pengetahuan yang diperoleh untuk mentadbir kehidupan. Manakala dari segi pendidikan pula, epistemologi ini telah memberi sumbangan dalam menentukan kurikulum pembelajaran. Sebagai contoh, guru boleh menentukan apa kandungan yang bakal diajar, kemudian menentukan bahan yang paling tepat untuk menyampaikan pembelajaran kepada mereka. Bukan itu sahaja, guru juga perlu menentukan bagaimana pelajar memperoleh pengetahuan dan mengikuti pembelajarannya. 

Antara persoalan falsafah yang berkaitan dengan falsafah ini adalah:

  • Adakah guru mengajar, menyoal, memberikan pengalaman atau mengadakan aktiviti-aktiviti bagi menggalakkan pelajar-pelajar untuk belajar?
  • Bagaimanakah para saintis mengaplikasikan sains? 

 

Aksiologi 

Cabang ini membincangkan secara khusus mengenai persoalan nilai yang terdiri dari nilai etika  dan estetika  untuk keharmonian dan keseimbangan dunia. Ia juga membahaskan tentang nilai baik atau nilai buruk, indah atau tidak indah yang berkaitan dengan pendidikan. Nilai-nilai ini pula juga boleh diterapkan dalam matapelajaran moral, agama islam dan juga seni kreativiti bagi seni estetika.

Antara persoalan falsafah yang berkaitan dengan falsafah ini adalah:

Dari segi etika

  • Adakah para pelajar pada dasarnya baik ataupun jahat?
  • Bagaimanakah guru sepatutnya melayani pelajar?

Dari segi estetika

  • Apakah kepentingan pendidikan seni dan pendidikan muzik di sekolah?
  • Apakah perbezaan kefahaman tentang kecantikkan yang ada di bilik darjah ataupun kelas?

KERATAN AKHBAR 1


Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa pendidikan moral dan akhlak perlu menjadi urusan utama pendidikan negara dalam usaha melahirkan insan yang amanah, berintegriti dan bertanggungjawab. Bukan itu sahaja, timbalan perdana menteri berkata sifat jujur, amanah dan integriti sebenarnya merupakan nilai intrinsik yang menjadi tunjang dan pasak kemajuan negara. Beliau juga mengatakan bahawa sebenarnya hal ini boleh direalisasikan sekiranya guru-guru sentiasa menerapkan nilai-nilai murni seperti sifat amanah, jujur, telus dan budi pekerti yang mulia dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kesukanan dan kokurikulum ketika majlis perasmian sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Dewan Wawasan. Tugas mendidik murid supaya berakhlak mulia dan berdisiplin tidak hanya terletak pada bahu guru pendidikan moral, guru pendidikan Islam atau guru disiplin tetapi pada semua guru. Beliau mengatakan bahawa jika kita dapat menjadikan sekolah sebagai medan asuhan akhlak dan sahsiah murid yang sempurna, saya yakin hasrat kita untuk melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak mulia akan menjadi kenyataan. Layari Pendidikan moral, akhlak jadi urusan utama pendidikan negara - TPM untuk maklumat lanjut.


KERATAN AKHBAR 2



Artikel ini menjelaskan bahawa pinggirkan subjek merupakan langkah kurang bijak. Hal ini demikian kerana aktiviti kesenian ini mampu memperbaiki tahap keyakinan pelajar, seterusnya dapat meningkatkan keterampilan mereka. Di Malaysia, PSV diperkenalkan secara formal sejak di peringkat sekolah rendah lagi. Dalam konteks ini, pendidikan seni sekolah rendah adalah lebih luas kerana menggabungkan seni visual, muzik dan seni persembahan. Bagi memupuk minat pelajar dalam mata pelajaran kesenian, pihak sekolah dan ibu bapa perlulah lebih terbuka untuk memberi ruang kepada murid untuk meluahkan diri (ekspresi) mereka melalui aktiviti seni. Pada tahap sekolah rendah, ramai murid yang tidak mampu menterjemahkan pandangan atau perasaan mereka melalui penulisan. Justeru, seni dilihat sebagai medium yang sangat berkesan bagi tujuan berkenaan. Layari Pinggirkan subjek seni langkah kurang bijak untuk maklumat lanjut.

 

Logik

Cabang yang membincangkan tentang persoalan untuk membuat keputusan. Logik ini terbahagi kepada dua iaitu logik induktif dan deduktif. Tujuan utama pengajaran logik ialah untuk mendedahkan para pelajar tentang kaedah berfikir yang betul dan mengelakkan dari terperangkap dengan kesilapan berfikir. Sebagai contoh, ilmu logik dikaitkan dengan ilmu matematik kerana banyak menggunakan mental dalam menyelesaikan masalah, semakin banyak masalah semakin banyak ilmu dan pengalaman yang ditimba.

Antara persoalan falsafah yang berkaitan dengan falsafah ini adalah:

  • Patutkah guru menggunakan pentaakulan deduktik atau induktif dalam pengajarannya?
  • Bagaimanakah guru boleh mengetahui apa yang dilakukan oleh pelajar-pelajar adalah  merupakan sebahagian daripada proses penaakulan?

Pengaruh Falsafah Pendidikan Barat (FPB) terhadap pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaaan

 

PENGENALAN

      Falsafah Pendidikan barat terbahagi kepada dua bahagian iaitu falsafah Pendidikan barat tradisional  dan falsafah pendidikan barat moden .Falsafah pendidikan barat tradisional terdiri daripada falsafah pendidikan  perenialisme dan falsafah pendidikan essensialisme. Seterusnya, falsafah Pendidikan barat moden terdiri daripada falsafah Pendidikan progresivisme dan rekonstruksionisme. Falsafah Pendidikan ini mempunyai mazhab-mazhab falsafah tertentu. Contohnya, falsafah pendidikan perenialisme dan essensialisme dipengaruhi oleh mazhab falsafah idealisme dan realisme. Manakala falsafah Pendidikan progresivisme dipengaruhi oleh mazhab falsafah realisme dan pragmatisme. Akhir sekali, falsafah pendidikan rekonstruksionisme dipengaruhi mazhab falsafah eksistensialisme dan pragmatisme.














Pengaruh Falsafah Pendidikan Barat dalam pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

        Elemen-elemen di dalam Falsafah Pendidikan Barat diakui mempengaruhi dalam pembentukan FPK di negara ini. Namun pemilihan dan pengolahan terhadap elemen tersebut telah diolah bagi disesuaikan dalam konteks negara Malaysia selaras dengan matlamat KPM bagi mengembangkan potensi murid ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti berdasarkan prinsip-prinsip yang telah dinyatakan di dalam FPK  :

      “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

        Jika diteliti secara terperinci, falsafah pendidikan di Malaysia dipengaruhi sebahagian besarnya daripada Falsafah Pendidikan Barat sama ada moden atau tradisional. Kesemua falsafah barat ini memberi pengaruh sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pembentukan FPK bagi memenuhi matlamat KPM.

Pengaruh Falsafah Perenialisme

    Secara umumnya, kurikulum mazhab perenialisme dikatakan konservatif dimana prinsip pendidikannya bersifat tetap dan berulang. Matlamat pendidikan mazhab ini adalah untuk mengajar pengetahuan dan nilai sejagat, abadi atau dan tidak mempunyai had masa di mana ia adalah suatu usaha mencari kebenaran dan menyebarkannya kepada generasi yang akan datang. Hal ini bertepatan dengan FPK di mana pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan. Elemen ini penting kerana pendidikan berterusan akan menanam sifat cintakan ilmu hingga akhir hayat seterusnya mampu melahirkan modal insan yang berkualiti.

    Aliran parenialisme juga mengutamakan kerasionalan dalam mengadakan matlamat sistem pendidikan untuk memperbaiki status manusia. Menurut Abdul Rahman dan Zakaria Kasa (1986) disamping mengejar pembangunan kemajuan sains dan teknologi, industri seharusnya mengekalkan nilai kemanusiaan yang murni. Maka, FPK untuk melahirkan rakyat yang berakhlak, bermoral, beretika dan berestetika amat bertepatan dengan sebahagian pemikiran parennialisme.

 

Pengaruh Falsafah Esensialisme

        Falsafah ini menumpukan kepada perkara-perkara asas yang perlu diketahui seseorang individu agar menjadi ahli masyarakat yang produktif, bersifat praktikal dan pragmatik. Falsafah aliran ini juga mementingkan pembentukan peribadi dan kurikulumya disusun dari topik yang mudah kepada yang lebih kompleks serta menekankan kemahiran 3M iaitu menulis, mengira dan membaca. Peranan guru di dalam aliran ini adalah sebagai pakar dalam pelbagai disiplin dan sebagai ‘role model’ yang harus dicontohi.

        Unsur intelek yang tercatit di dalam FPK yang menerangkan tentang tumpuan dalam daya berfikir yang meliputi ciri-ciri seperti kemahiran asas 3M, berfikir secara kreatif dan kritis ini membuktikan bahawa terdapat pengaruh aliran esensialisme di dalam pembentukan FPK di negara ini. Menurut Tajul dan Noraini (1992), sumbangan kurikulum essensialisme yang dapat dilihat dalam perkembangan sistem pendidikan di Malaysia ialah guru sebagai model, penerapan nilai-nilai murni dalam setiap mata pelajaran, mata pelajaran di bahagikan kepada teras dan elektif dimana menggambarkan mata pelajaran penting dan kurang penting seperti pelaksanaan KBSM dan penekanan 3M dalam pelaksanaan KBSR (Abdul Rahman dan Zakaria Kasa, 1986).

Pengaruh Falsafah Progresivisme

        Matlamat falsafah ini adalah untuk menyediakan golongan murid agar berupaya mengakomodasi dan menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Kita dapat melihat perkaitannya dengan falsafah pendidikan kebangsaan iaitu untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan bertanggungjawab serta berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang maju dan berilmu. 

    Progresivisme mementingkan operasi penyelidikan yang menjadi pemangkin pembangunan teknologi. Hasil daripada fahaman aliran progressivisme ini akan melahirkan masyarakat saintifik, progresif dan inovatif kerana kajian penyelidikan saintifik dipupuk secara meluas dan menyeluruh. Falsafah pendidikan juga meggalakkan pelajar agar mempunyai sikap yang kreatif dan inovatif agar dapat menyumbang dalam perkembangan teknologi negara. Ini juga bertepatan dengan kehendak negara bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang akan dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan negara yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif pada masa akan datang.

        Falsafah pendidikan juga mengharapkan potensi pelajar berkembang dengan menyeluruh tetapi dalam fahaman progresivisme ini, agama diketepikan. Justeru itu, falsafah pendidikan kebangsaan menyatupadukan antara perkembangan potensi pelajar yang seimbang serta unsur spiritual dan rohani. Hal ini demikian kerana, kemajuan tanpa agama akan menyebabkan manusia hilang pedoman. Nilai dalam diri juga akan terhakis dan manjadikan manusia bersifat ego dan individualistik. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang menggunakan kaedah inkuiri-penemuan dan lebih berpusatkan murid juga adalah hasil fahaman ini. Kesimpulannya, falsafah progresivisme sedikit sebanyak telah mendatangkan implikasi yang agak besar juga kepada pendidikan di Malaysia. Implikasi yang dikatakan tersebut adalah berasaskan kepada kebaikan demi untuk melahirkan individu yang memenuhi matlamat KPM.

Pengaruh Falsafah Rekonstruksionisme

          Konsep aliran ini lebih menyeluruh di mana ia meliputi isu sosial, ekonomi, politik dan teknologi. Sekolah dijadikan sebagai landasan membentuk masyarakat baru dan ingin mengasaskan corak budaya baru serta menghapuskan penyakit sosial. Oleh yang demikian, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan lebih berstruktur, mempunyai elemen kajian saintifik dan juga kerja projek. 

        Elemen ini telah diserap dalam falsafah pendidikan di Malaysia di mana salah satu fungsi FPK adalah mengembangkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu demi membentuk insan yang harmonis dan seimbang. Setiap individu memiliki keupayaan dan bakat yang tersendiri. Keupayaan dan bakat itu pula dapat diperkembangkan menerusi aktiviti sosial. Oleh itu, individu akan sentiasa mencari kelebihan mereka dalam bidang yang mereka pilih. 

       Fungsi FPK dalam melahirkan individu yang berketerampilan juga mempunyai unsur mazhab rekonstruktivisme yang mana menjurus kepada kemahiran dalam menjalankan tugas dengan cekap sekaligus mengembangkan potensi mereka secara optima. 

Kesimpulan

        Jelas di sini menunjukkan bahawa falsafah pendidikan Barat sedikit sebanyak telah  menjadi penanda aras dalam pembentukan falsafah pendidikan kebangsaan. Namun begitu, tidak semua dalam falsafah pendidikan Barat itu diambil bulat-bulat dan dijadikan terus kepada falsafah pendidikan kebangsaan kita.

 











Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam (FPI) terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia

PENGENALAN FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

        Islam merupakan addin yang bersifat menyeluruh, bersepadu, seimbang dan sempurna. Islam tidak terbentuk dari pemikiran manusia tetapi fitrah untuk beragama. Meskipun di dalam Al-Quran tiada dinyatakan istilah falsafah tetapi ada disebut tentanng hikmah. Dari aspek cabang falsafah Islam, penekanan kepada kepercayaan mengawal pemikiran dan tindakan.

FALSAFAH DALAM ISLAM

1. Metafizik - Intisari yang Maha Esa, Mutlak dan Kekal

2. Epistemologi - Pengetahuan tentang kebenaran mutlak (haq) melalui dua cabang ilmu:

    i. Ilmu Naqli (Fardu Ain-Wahyu)

    ii. Ilmu Aqli (Fardu Kifayah-Akal)

3. Aksiologi - Kebagusan mutlak (kamil), ditetapkan oleh Allah s.w.t. dengan ekspresi lahiriah dalam bentuk kebagusan relatif (ketakwaan).

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM DAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

PENGARUH FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM 

Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam merujuk kepada :

 

1. Pendidikan Sepanjang Hayat

Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam yang pertama ialah pendidikan sepanjang hayat. Pendidikan ini merupakan satu proses yang berterusan iaitu bermula dari bayi sehinggalah kita meninggal dunia. Proses pemerolehan, pemindahan pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan merupakan satu perkara yang tidak dapat dipisahkan lagi. Pendidikan sudah bermula sejak kita berada dirumah lagi. Pendidikan awal di rumah ini adalah penting kerana ianya dapat membentuk asas sahsiah yang akan terus berkembang hingga ke akhir hayat nanti. Konsep pendidikan ini mempunyai 3 peringkat, iaitu peringkat awal, peringkat sekolah dan peringkat selepas sekolah. Proses melanjutkan pelajaran bermula dari zaman kanak-kanak hinggalah dewasa. Justeru itu, pendidikan terbahagi kepada dua iaitu pendidikan formal dan tidak formal.

i) Pendidikan Formal

    Sistem pendidikan formal ialah satu pendidikan yang mempunyai sukatan pelajaran, kelas atau sekolah, serta mempunyai ujian dan peperiksaan serta lain-lain lagi. Kebiasaannya pendidikan ini bermula seawal usia lima hingga tujuh belas tahun. Hal ini boleh kita lihat dari Tadika sehingga Tingkatan Lima nanti. Pembelajaran yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebenarnya bukan berhenti di sekolah malahan ianya berterusan sehinggalah keperingkat yang lebih tinggi dan seterusnya sepanjang hayat. Misalnya pendidikan bukan setakat mempuyai diploma atau ijazah sahaja, malah mereka digalakan untuk belajar ke peringkat yang paling tinggi.

ii) Pendidikan Tidak Formal

    Pendidikan tidak formal ini ialah pendidikan yang bermula di rumah. Ini bermaksud seseorang kanak-kanak dari bayi telah mempelajari pelbagai pelajaran melalui pengalaman dan pemerhatian mereka melalui persekitaran dalam dan luar rumah. Melalui pendidikan ini, kanak-kanak dapat mempelajari kemahiran insaniah (soft skills) iaitu kemahiran komunikasi daripada orang sekeliling seperti ibu bapa, nenek dan adik-beradik mereka melalui pergaulan dan interaksi sesama mereka. Sebagai contoh, jika ibu bapa sering mengajar anak-anak tentang adab memberi ucapan terima kasih, maka kanak-kanak tersebut akan terbiasa dengan ucapan iaitu “Terima Kasih’ itu sering meniti di bibir mereka. Oleh itu, pendidikan ini dapat dikembangkan melalui akal, roh dan dan jasad  bagi mencapai matlamat pendidikan untuk menjadi insan yang syumul (sempurna) melalui iman, ilmu dan amal.

2. Menyeluruh dan Bersepadu

    Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam yang kedua ialah memperkembangkan potensi secara menyeluruh dan bersepadu. Hal ini bermaksud potensi-potensi yang ada pada individu harus dikembangkan secara bersepadu dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Sebagai contoh, potensi dari sudut intelek tidak boleh dipisahkan dengan potensi kerohanian. Pelajar yang bijak adalah tidak seimbang tanpa ada norma-norma kemanusiaan seperti kasih sayang sesama manusia dan menghormati orang lain. Usaha hendaklah dijalankan untuk menghubungkaitkan perkembangan semua potensi bukan sahaja potensi intelek, malah potensi rohani, emosi dan jasmani juga penting. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah selain memberikan pendidikan keduniaan seperti ilmu akademik dan jasmani untuk mengembangkan semua potensi secara bersepadu adalah dengan menerapkan kepercayaan kepada Tuhan. Ini akan melahirkan pelajar yang bersahsiah tinggi selain berilmu. Oleh itu, semua potensi hendaklah dikembangkan melalui berbagai-bagai aktiviti kehidupan manusia yang berlandaskan nilai-nilai murni dan juga norma-norma masyarakat yang baik seperti aktiviti ceramah agama dan gotong-royong selain proses pembelajaran dan pengajaran dalam kelas.

3. Seimbang dan Harmonis

    Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam yang ketiga ialah seimbang dan harmonis. Maksud seimbang dan harmonis disini ialah insan yang berilmu pengetahuan, mempunyai akhlak mulia, percaya dan yakin kepada Tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram, sihat tubuh badan, serta matang dari segi emosi dan sosialnya. Insan yang seimbang dan harmoni ini mempunyai intelek, rohani, emosi dan jasmani yang telah diperkembangkan secara kritikal dan bersepadu. Hal ini dapat dilihat dalam kehidupan harian atau tingkah laku seseorang individu tersebut. Sebagai contoh, pelajar yang seimbang dan harmonis memiliki kefahaman tentang tugas dan tanggungjawab terhadap lantikan misalnya menjadi sebagai seorang ketua pelajar. Dengan ini, ketua pelajar tersebut mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik. Ketua pelajar itu juga dapat bekerjasama dengan rakan-rakan lain melalui perbincangan yang dilakukan bagi memantapkan lagi keperluan para pelajar untuk akademik. Jika ada masalah, segala masalah dan cabaran yang dihadapi dapat di atasi secara professional dan rasional.

4. Kepercayaan dan Kepatuhan kepada Tuhan

    Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam yang terakhir ialah kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Ini bermaksud perkara yang memberi penekanan kepada beberapa perkara penting seperti mengakui wujudnya Pencipta, mengakui manusia dan alam dijadikan oleh Pencipta, mengetahui tentang percaturan yang telah dilakukan oleh Tuhan, faham bahawa manusia dijadikan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan, menjauhi kemungkaran dan melakukan kebaikan, mengikuti dan mengamalkan ajaran agama, dan sentiasa mengukuhkan kepercayaan beragama. Dalam aspek kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan ini, setiap pelajar telah mengakui tentang wujudnya Pencipta. Oleh itu, setiap pelajar telah mengamalkan kepercayaan keagamaan masing-masing seperti Agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Dalam orientasi ilmu, terdapat ilmu naqli iaitu Wahyu dan ilmu aqli iaitu Falsafah dan Sains. Dengan ilmu yang diamalkan, ianya dapat menjadikan seorang insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Kewajipan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pelajar-pelajar dapat mengamalkan konsep kepercayaan kepada Tuhan kerana mereka telah diajar perkara tersebut di dalam kelas.

PENGARUH FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM TERHADAP SISTEM PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Falsafah Pendidikan Islam adalah berasaskan ajaran Al-Quran. Falsafah Pendidikan Islam amat menekankan pendidikan mengenali Allah Yang Esa kerana semua perkara asasnya bermula daripada Pencipta itu sendiri. Menurut Agama Islam, pendidikan merupakan usaha-usaha membaiki diri masing-masing agar dapat membentuk sifat yang sempurna dalam diri setiap individu sebagai seseorang yang taat kepada perintah agama, berpengetahuan dan memiliki akhlak yang mulia. Falsafah Pendidikan Islam telah memberi pengaruh terhadap kurikulum dan pendidik terhadap sistem perkembangan pendidikan di Malaysia.

    Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam terhadap sistem perkembangan di Malaysia yang pertama ialah melalui kurikulum. Perubahan sukatan pelajaran yang dilaksanakan berdasarkan kerangka utama pembelajaran mampu memperlihatkan pembelajaran dan pengajaran yang dilaksanakan lebih beroriontasikan kepada program bersepadu di sekolah. Sebagai contoh, Perkhidmatan Kesihatan Sekolah (Bimbingan dan Kaunseling). Justeru itu, peranan guru sangat penting untuk untuk memastikan segala ilmu yang diajar dapat dihayati oleh pelajar di samping bahan-bahan pengajaran yang menekankan nilai-nilai moral dan akhlak dalam melibatkan semua mata pelajaran.

    Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam terhadap sistem perkembangan di Malaysia yang kedua ialah melalui pendidik. Menurut Mok Soon Sang (2010), berlaku perubahan sikap seseorang pendidik dan profesionalnya dalam memastikan tugasan mengajar dengan tujuan dan dasar falsafah pendidikan islam adalah selari. Hal ini kerana para pendidik akan berubah kearah pandangan dan visi yang positif terhadap amanah yang dipikul untuk memastikan ianya dapat dilaksanakan dengan baik.Perubahan ini menubah strategi dan teknik pengajaran oleh pendidik supaya lebih sesuai dilaksanakan untuk melahirkan modal insan yang berguna kepada negara. Di samping itu, pendidik juga menjadi lebih bertanggungjawab kerana mereka merupakan role model di sekolah kepada anak didik mereka.

    Kesimpulannya, Falsafah Pendidikan Islam memberi implikasi yang sangat besar kepada perkembangan sistem pendidikan di Malaysia. Hal ini kerana falsafah pendidikan Islam mampu memberi perubahan terhadap sekolah dalam pelbagai sudut iaitu dari sudut kurikulum dan pendidik. Di samping itu, ia mampu membina tingkah laku manusia untuk menjadi manusia yang seimbang melalui lima aspek iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial di bawah teras ajaran agama Islam.

KERATAN AKHBAR

    Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) adalah satu proses pendemokrasian pendidikan, merangkumi program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal atau tidak formal. PSH mempunyai konsep untuk memenuhi keperluan individu dan guna tenaga di samping mewujudkan warganegara yang aktif dan kesaksamaan sosial. Antara kumpulan sasaran utama PSH ialah lepasan sekolah, golongan dewasa yang bekerja, suri rumah dan warga emas yang mahu memberi sumbangan kepada negara, menambah baik diri, dan mempelbagaikan kemahiran. Lantas Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dengan jelas meletakkan lonjakan yang ketiga iatu Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) antara agenda utama pendidikan tinggi negara. 

Manfaat dan cabaran pelaksanaan falsafah eklektik dalam perkembangan pendidikan di Malaysia.



Maksud Falsafah Eklektik
 adalah gabungan nilai-nilai baik daripada pelbagai sumber dan falsafah iaitu gabungan pelbagai gabungan idealisme, progresivisme, eksistensialisme serta falsafah pendidikan islam. FPK digolongkan sebagai falsafah eklektik kerana terdapat unsur dan elemen dalam FPK merentasi budaya, agama dan kepercayaan kaum di Malaysia. Terdapat gabungan nilai­-nilai yang baik daripada pelbagai sumber dan falsafah. Gabungan pelbagai cabang falsafah iaitu idealisme,realisme,progresivisme dan eksistensialisme serta Falsafah Pendidikan Islam.

 

 Manfaat pelaksanaan Falsafah Elektik dalam Perkembangan Pendidikan di Malaysia

 

Masyarakat dan pendidikan

Manfaat pelaksanaan Falsafah Eklektik dalam Perkembangan Pendidikan di Malaysia adalah melalui Falsafah PendidikanKebangsaan (FPK) kepada Masyarakat dan pendidikan, falsafah elektik menjadikan pendidikan suatu usaha yang berterusan kerana falsafah eklektik membantu pembentukan falsafahpendidikan kebangsaan untuk memupuk pendidikan sepanjanghayat. Hal ini juga dapat melahirkan masyarakat yang harmoni, sejahtera dan makmur serta membentuk pendidikan kearah menyumbang kemakmuran Negara.

 

Orientasi Ilmu

Membentuk pendidikan yang menyeluruh, bersepadu dan seimbang dengan memberi penekanan kepada standard kokurikulum, standard pembelajaran, standard prestasi. Pada masa yang sama ia juga dapat melahirkan insan yang seimbang.

 

Pembelajaran Murid

Dapat mengembangkan potensi individu sepenuhnya dan mewujudkan pembelajaran yang aktif. Selain itu, meneroka dan membina pengetahuan dan akhlak modal insan serta memupuk peranan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan Negara. Seterusnya, dapat membina kesejahteraan diri untuk menjadi insan yang berjaya.

 

Pengajaran Guru

Guru akan mendidik secara berterusan dan dapat mengembangkan potensi murid secara menyeluruh, bersepadu dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pada masa yang sama guru juga berperanan sebagai role model seperti dalam falsafah pendidikan Islam yang mengamalkan berpusatkan guru.

 

Matlamat Pendidikan

Dengan adanya pendidikan dalam setiap individu ia dapat melahirkan warganegara yang berilmu serta dapat memberi sumbangan kepada Negara. Hal ini juga sekali gus dapat melahirkan modal insan yang berkualiti pada masa depan yang kelak.

 

 

 

CABARAN PELAKSANAAN FALSAFAH EKLEKTIK DALAM PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA

 

            Dari segi aspek seimbang dan harmoni, seperti yang kita ketahui seimbang bermaksud moral dan harmoni bermaksud akhlak. Berdasarkan falsafah pendidikan kebangsaan, ia perlu dibina melalui penghayatan nilai-nilai murni merentasi kokurikulum. Malangnya sejak tahun 1998 strategi penerapan nilai-nilai murni telah diabaikan dan dilupakan. Akibatnya, moral dan akhlak murid-murid dan pelajar-pelajar sekolah hari ini semakin merosot dan runtuh.

 

         Cabaran seterusnya, melalui aspek menyeluruh dan bersepadu yang membawa maksud pendidikan yang berholistik dan ilmu wahyu yang berpaksikan ilmu akal. Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, paradigma ilmu wahyu hendaklah menjadi teras kepada fungsi akal (idealisme), kualiti kehidupan (realisme), dan keharmonian tabii 'insan (humanisme). Oleh itu pendidikan yang berorientasikan robot, kilang, lulus peperiksaan dan sekeping ijazah hendaklah diubah. Pendidikan yang baik bersifat harmoni di antara kebenaran agama.

 

            Cabaran yang ketiga dari segi aspek keharmonian rohani, intelek, emosi dan jasmani. Kelihatan seolah-olah pendidikan di Malaysia hanya memberi penekanan kepada potensi jasmani. Dengan kata lain, pendidikan lebih mengutamakan kepentingan perniagaan, keuntungan, teknologi dan industri. Penekanan yang keterlaluan lebih mengfokus kepada potensi kreatif dan inovatif yang bersifat kebendaan semata-mata. Tidak hairanlah hanya potensi jasmani sahaja yang berkembang. Sedangkan potensi rohani, intelek dan Emosi tidak berlaku. Pendidikan yang tidak seimbang sudah tentu akan melahirkan modal insan yang tempang. 

 

        Cabaran yang terakhir dari segi Pendidikan Malaysia iaitu pendidikan yang mengikut acuan Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjadi batu asas kepada pembangunan pendidikan menurut acuan Malaysia. Namun, pelaksanaan dasar pendidikan sentiasa berubah bahkan tidak merujuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perlantikan menteri-menteri dan pegawai-pegawai yang tertinggi di Kementerian Pendidikan.

 

    Kesimpulanya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan diwujudkan sebagai panduan dan rujukan kepada Malaysia untuk merancang, melaksana dan mencapai matlamat, ia juga digolongkan sebagai Falsafah Eklektik.

 


  FPK SEBAGAI FALSAFAH EKLEKTIK


Rajah 1 Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai falsafah Ekletik

FPK merupakan falsafah pendidikan yang mempunyai ciri-ciri gabungan antara falsafah pendidikan barat dan falsafah pendidikan Islam. Menurut Abdul Rahman Arof & Zakaria Kasa (1994) menamakan falsafah sebagai falsafah eklektik yang bermaksud gabungan atau paduan dari pelbagai sistem dan falsafah yang dipilih ataupun falsafah pendidikan yang tercipta dari pelbagai sumber. Justeru itu, Rajah 1 ini menggambarkan bagaimana perkaitan yang berlaku di antara falsafah pendidikan barat tradisional, falsafah pendidikan barat moden dan falsafah pendidikan islam yang bertemu untuk membentuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bersifat eklektik.


RUMUSAN

Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini  diwujudkan sebagai panduan dan rujukan kepada Malaysia adalah untuk merancang, melaksana dan mencapai matlamat bagi membina negara maju. Pembentukan FPK ini adalah hasil garapan dari pelbagai aliran falsafah yang berteraskan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Oleh itu, Falsafah Pendidikan Kebangsaan tergolong dalam falsafah pendidikan eklektik kerana terkandung di dalamnya Falsafah Islam dan Falsafah Pendidikan Barat Tradisional (perenialisme dan esensialisme) serta Falsafah Pendidikan Barat Moden (progresivisme dan rekonstruksionisme). FPK mempunyai kandungan yang lengkap dengan mengambil pertimbangan tentang pembangunan insan untuk menjadi cemerlang menerusi pendidikan. Kandungan FPK ini selari dengan Falsafah Pendidikan Islam yang meletakkan manusia terdiri dari tiga komponen iaitu akal (otak), roh (rohani), jasad (tubuh secara luaran). Begitu juga dengan mazhab falsafah barat yang mempengaruhi falsafah pendidikan barat dan seterusnya mempengaruhi perspektif mereka terhadap perkembangan manusia dari segi kognitif(otak), afektif (jiwa dan perasaan) dan psikomotor (tubuh luaran manusia). Justeru itu, jika dihubungkan dengan FPK, maka persamaan tersebut berlaku.

Ahli Kumpulan 3

  





                    



NUR HUSNINA BALQIS BINTI AHMAD FAIZA

D20211099505


 

 TSURAIYA BINTI NASUTION

 D20211099506 

  


SITI HAJAR BINTI KHAIRUL AZMAN

D20211099507 

  


NURIN NASYATUN AIESYA BINTI ROKAID 

D20211099508